Bahaya telefon bimbit kepada kanak-kanak



GAMBAR kesan radiasi (warna merah paling maksimum)
selepas hanya 15 minit menggunakan telefon bimbit.


Penggunaan telefon bimbit oleh kanak-kanak khususnya di bawah usia 12 tahun didakwa mendedahkan mereka kepada tumor otak.

Demikian hasil penyelidikan terbaru dari Sweden yang mendapati kanak-kanak lima kali lebih cenderung mendapat tumor menerusi penggunaan alat komunikasi itu secara kerap.

Presiden Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP), S.M. Mohamed Idris memberitahu, kanak-kanak terdedah kepada radiasi telefon bimbit, telefon tanpa wayar dan peralatan lain kerana otak dan sistem saraf mereka sedang berkembang.

Katanya, oleh kerana kepala mereka kecil dan tengkorak lebih nipis berbanding orang dewasa, radiasi lebih mudah menembusi jauh ke dalam otak.

"Kajian itu diketuai Profesor Lennart Hardell dari Hospital Universiti di Orebro, Sweden. Ia dibentangkan pada persidangan antarabangsa mengenai telefon bimbit dan kesihatan serta risiko radiasi penyebab kanser," katanya pada sidang akhbar di pejabatnya di sini semalam.

Kata S.M. Mohamed, perkara ini menimbulkan kebimbangan kepada kesihatan khususnya risiko peningkatan tumor otak kerana antena radiasi berada terlalu hampir dengan otak dan kemungkinan ia menyerap sejumlah besar tenaga elektromagnetik.

Posted in Labels: |

0 comments: