Photobucket

Dunia oh Dunia


Isu perlakuan tidak melambangkan tindakan umat bertamadun pada hari ini, boleh disifatkan sebagai tindakan primitif atau serupa pada zaman baginda Rasulullah s.a.w. di kalangan masyarakat 'jahiliah', malah terdapat daripada perbuatan itu sudah sampai peringkat yang mencemaskan banyak pihak.

Seorang motivator Islam, Syeikh Muhammad Qutb (adik Syahid Saiyid Qutb) dalam bukunya 'Jahiliah kurun kedua puluh', ada menegaskan, bahawa masyarakat jahiliah adalah mereka yang tidak memiliki akhlak mulia, budi bahasa, sopan santun atau sifat-sifat yang baik, yang menyembah dunia dan segala bentuk kebendaan, yang lebih tepat lagi tidak berkiblatkan akidah kepada Allah SWT

Benarlah kenyataan yang pernah disebut oleh Khalifah agung, Sayidina Umar bin al-Khattab: "Sesungguhnya kemuliaan, keagungan, kekuatan Islam akan terhakis satu demi satu, jika masih terdapat di kalangan orang Islam yang tidak mengenal erti jahiliah."

Maksudnya, apabila wujud di kalangan orang Islam masih terikat dengan amalan jahiliah, akhirnya kemuliaan, keagungan, kekuatan Islam akan keluar daripada dirinya sedikit demi sedikit, maka pada ketika itu dia tidak lagi menjadi manusia Muslim yang terikat dengan hukum-hukum Islam.

Sebagai contoh, penampilan seorang artis wanita di atas pentas dengan membuat persembahan di hadapan ribuan penonton lelaki, pada ketika dia menyampaikan persembahannya, dalam keadaan bersolek, berwangian, tidak menutup aurat serta tidak memakai tudung kepala, berpakaian ketat, mungkin juga nipis atau jarang, kesemua itu adalah sebahagian daripada amalan jahiliah moden.

Ia termasuk dalam urusan pentadbiran negara, apabila peraturan, undang-undang serta hukum-hukum Islam yang termaktub dalam al-Quran tidak menjadi sandaran dan rujukan untuk dilaksanakan, para pemimpin lebih rela mengutamakan undang-undang sivil, termasuk yang diceduk daripada fahaman Sekularisme, Kapitalisme dan Sosialisme.

Maka apabila undang-undang itu menjadi pegangan dalam kehidupan bernegara, maka berlakulah krisis keyakinan terhadap Islam dalam diri orang-orang Islam itu sendiri, sorotan laporan akhbar arus perdana serta siaran berita mengesahkan jahiliah moden itu.

Terdahulu kedengaran seorang ibu muda menjerut dua anak lelakinya dengan wayar sterika, seorang isteri menyimbah asid di muka suaminya akibat cemburu membabi buta hingga membawa kepada perceraian, pelajar-pelajar tingkatan dua dan tiga di sebuah sekolah di Damansara Damai menganggotai kumpulan 'Geng labah-labah' yang berorientasikan jenayah seperti perlakuan seks bebas, memeras ugut pelajar, ponteng sekolah, terlibat dalam minuman keras, isu mat serta minah rempit yang tidak berkesudahan, budaya lepak yang menggambarkan pelakunya seperti tidak memahami dan mengetahui hala tuju hidup sebagai orang-orang Islam.

Lebih parah lagi apabila terdapat individu-individu bernama Islam yang membunuh mangsa dan meletupkan batang tubuh mayat bertujuan untuk menghilangkan bahan bukti, tidak kurang juga mangsa yang dirogol, kemudian dibunuh dan seterusnya dibakar.

Begitu juga terdapat seorang anak yang menetak kepala ibunya sampai mati, seorang ayah yang merogol anak gadisnya (sumbang mahram), perlakuan memberi dan menerima rasuah, terlibat dalam urusan perjudian dan arak secara terang dan jelas, anak-anak luar nikah dicampakkan dalam tong sampah, dibuang di masjid dan bermacam-macam kes lagi.

Tidakkah semua tindakan itu dianggap sebagai perlakuan amalan jahiliah moden yang lebih parah daripada jahiliah di zaman Rasulullah s.a.w.

Justeru, tidak mustahil mereka akan ditimpakan dengan pelbagai musibah seperti yang ditegaskan baginda Rasulullah s.a.w dalam hadisnya yang bermaksud: "Umatku ini adalah umat yang disayangi Allah, sepatutnya ia tidak ditimpa azab pada hari Kiamat, tetapi di dunia lagi mereka ditimpakan dengan emapat perkara : Berlaku fitnah-fitnah yang banyak, gempa-gempa bumi, kematian/pembunuhan berlaku di mana-mana dan bala-bala daripada Allah SWT." (Hadis riwayat Sa'id al-Khudri)

Jelas daripada apa yang ditegaskan baginda Rasulullah s.a.w. itu, umat Nabi Muhammad ditimpakan azab, malapetaka, bencana semasa menjalani proses hidup di dunia lagi akibat tidak melakukan apa yang diperintahkan Allah ke atas mereka, kesimpulannya umat hari ini melakukan apa yang ditegah oleh Allah dan meninggalkan apa yang diarahkan oleh Allah ke atas mereka.

Pada waktu itu, maka layaklah mereka ditimpa dengan pelbagai fitnah seperti terdapat orang Islam yang tidak memunaikan solat, ditimpa bencana alam seperti ribut petir, putting beliung, gempa bumi, banjir kilat, kematian berlaku di mana-mana dengan begitu mudah dan terdedah kepada pelbagai bentuk bala Allah.

Tujuan semua itu ditimpakan ke atas mereka, agar manusia seluruhnya kembali kepada fitrah asal kejadian mereka yang dicipta daripada tanah, air mani yang busuk lagi hina, supaya meletakkan keyakinan tinggi untuk menjadi hamba Allah dan hanya beribadat kepada-Nya.

Posted in Labels: | 1 comments

Mutu pendidikan menjunam, TNC hanya tahu mengampu PM


Intan Abdullah
Tue | Oct 14, 08 | 7:42:54 am MYT

KUALA LUMPUR, 14 Okt (Hrkh) - Mutu pendidikan negara menjunam teruk di mata dunia akibat pemerintah hanya mampu lantik Timbalan Naib Canselor yang hanya tahu mengampu Perdana Menteri dan pandai buat sajak sahaja.




Ketua Pembangkang, Dato' Seri Anwar Ibrahim (KeADILan-Permatang Pauh) menegaskan implikasi tersebut adalah akibat kegagalan kerajaan Umno-BN yang masih mengamalkan pengurusan pendidikan secara tidak profesional.

"Sekarang ini negara kita berada dalam keadaan sangat lemah apabila kedudukan universiti kita juga berada di bawah paras 200 pada ranking kedudukan universiti dunia terbaik," katanya semasa membahaskan Belanjawan 2009 pada sidang dewan Rakyat semalam.

Tambahnya, kedudukan universiti di Beijing, Singapura malah di Chulalongkorn, Thailand juga kini telah mengatasi universiti-universiti di Malaysia.

"Hal ini adalah tidak lain kerana kerajaan melantik timbalan Naib Canselor yang pandai mengampu Perdana Menteri hanya dengan membuat sajak, bukan kerana kepakaran dan kemampuan mengurus tadbir bagi meningkatkan mutu institusi pendidikan tersebut," katanya lagi.

Pada masa yang sama, beliau turut menjawab soalan yang dibangkitkan oleh Salahudin Ayub (PAS-Kubang Kerian) yang menyatakan mengenai sikap yang diambil oleh kerajaan terhadap mahasiswa dan pensyarah di universiti.

"Kita lihat apabila Rasulullah berdoa supaya menyempurnakan adab itu dengan ilmu dan kemahiran, tetapi bagaimana hendak mencapai kesemua itu jika golongan cendekiawan dan pelajar ini dikongkong pembacaan, kenaikan pangkat disekat, - ini soal pendidikan anak-anak dihantar ke universiti yang berkualiti," ujarnya.

Jelasnya, sedangkan ia merupakan sikap yang mampu mengangkat falsafah uiversiti dengan kecekapan bagi menjana kecemerlangan rakyat.

"Tetapi tanpa semangat dan usaha yang bersungguh-sungguh bagaimana kesemua ini boleh dicapai?" katanya lagi.

Terdahulu, Salahudin menyatakan bahawa jika bangsa dan negara maju berbangga dengan universiti mereka, seperti Harvard, Tokyo, Oxford.

"Namun, bagaimana hendak meraih kecemerlangan sekiranya TNC, NC melayan pensyarah seperti guru tadika, melayan siswa seperti pelajar sekolah - ini secara tidak langsung menyekat perkembangan kreativiti mereka.

"Sudah masanya Auku, yang menghambat siswa tidak lagi disalahgunakan.

"Malah, pelajar di universiti kini tidak lagi diraikan, sebaliknya diugut, dan tidak hairanlah jika kita dengar ada maklumat yang menyatakan bahawa kerja TNC rampas laptop, kerja pensyarah rampas nota yang mana isi kandungannya pro pembangkang," tegasnya.

Ketua Umum KeADILan tersebut juga mengulangi beberapa kali mengenai tiada perbahasan yang boleh dibuat memandangkan fakta yang dikemukakan sekarang ini sudah tidak relevan. - mks. _

Posted in Labels: | 1 comments

Bahaya telefon bimbit kepada kanak-kanak



GAMBAR kesan radiasi (warna merah paling maksimum)
selepas hanya 15 minit menggunakan telefon bimbit.


Penggunaan telefon bimbit oleh kanak-kanak khususnya di bawah usia 12 tahun didakwa mendedahkan mereka kepada tumor otak.

Demikian hasil penyelidikan terbaru dari Sweden yang mendapati kanak-kanak lima kali lebih cenderung mendapat tumor menerusi penggunaan alat komunikasi itu secara kerap.

Presiden Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP), S.M. Mohamed Idris memberitahu, kanak-kanak terdedah kepada radiasi telefon bimbit, telefon tanpa wayar dan peralatan lain kerana otak dan sistem saraf mereka sedang berkembang.

Katanya, oleh kerana kepala mereka kecil dan tengkorak lebih nipis berbanding orang dewasa, radiasi lebih mudah menembusi jauh ke dalam otak.

"Kajian itu diketuai Profesor Lennart Hardell dari Hospital Universiti di Orebro, Sweden. Ia dibentangkan pada persidangan antarabangsa mengenai telefon bimbit dan kesihatan serta risiko radiasi penyebab kanser," katanya pada sidang akhbar di pejabatnya di sini semalam.

Kata S.M. Mohamed, perkara ini menimbulkan kebimbangan kepada kesihatan khususnya risiko peningkatan tumor otak kerana antena radiasi berada terlalu hampir dengan otak dan kemungkinan ia menyerap sejumlah besar tenaga elektromagnetik.

Posted in Labels: | 0 comments

Kematian


Dalam kemeriahan kita menyambut AidilFitri, namun sedar tak sedar masih ramai yang dalam kesedihan. Di ruangan yang kecil ini, ingin saya ucapkan takziah kepada saudara Azizi dari Sarjana Muda Pendidikan Islam, saudari Syafazilah Jabatan Syariah Undang-undang yang kematian ayah. Saudari Fitrah dari Fakulti sains yang kematian ibu. Seterusnya keluarga Hazwani. Mudah-mudahan ruh insan-insan ini dicucuri rahmat oleh Allah s.w.t.

>>>Inilah menunjukkan kekuasaan Allah terhadap makhluk2nya. Ramai dikalangan kita menyangkakan bahawa kematian itu hanya menjemput golongan yang berumur, namun yang muda janganlah menyangka bahawa kematian itu masih jauh. Sekiranya kita lihat pada buah durian (my favourite), bermula dari bunga, kemudian menjadi buah yang kecil dan seterusnya buah durian yang masak. Tidak semua bunga durian akan menjadi buah yang kecil, dan tidak semua buah yang kecil akan menjadi buah yang masak dan sedap dimakan dan tidak semua buah yang masak dapat dimakan dan dapat memberikan manfaat pada semua manusia. Pada kejadian buah durian telah melambangkan kejadian manusia. Bunga durian ada yang gugur, begitu jugalah manusia. Ada yang kecil lagi dah gugur dan seterusnya.
>>>Kemudian jika kita lihat pada buah yang masak, tidak semua buah durian yang masak boleh dimakan.Begitu jugalah manusia, tidak semua manusia yang hidup didunia ini dapat bagi manfaat pada manusia yang lain. "Sebaik-baik manusia adalah yang memberikan manfaat pada orang lain"
>>>Justeru marilah beramal untuk akhirat, disamping tidak mengabaikan madu'2 yang memerlukan bimbingan.:)

Posted in Labels: | 1 comments

Penuntut UM maut, 3 cedera dalam kemalangan di Karak


PDF Print E-mail
Written by Bernama
Monday, 06 October 2008
KUANTAN: Seorang pelajar Universiti Malaya (UM) terbunuh, manakala tiga yang lain cedera ringan selepas kereta yang dinaiki mereka terbabit dalam kemalangan di Kilometer 48, Lebuh Raya Pantai Timur (LPT), dekat Karak, Bentong, semalam.

Pegawai Penguatkuasaan dan Pentadbiran Trafik Pahang, Asisten Superintendan Zainalabidin Othman, berkata pelajar yang terbunuh dalam kemalangan pada jam 4.30 petang itu dikenali sebagai Nurhaswani Zakaria, 22, dari Pasir Mas Kelantan.

Beliau berkata, antara mangsa yang cedera ialah pemandu kereta terbabit yang juga abang kepada Nurhaswani, Muhamad Zahari, 24 dan seorang penumpang Shahril Mohamad, 40.


Katanya, kemalangan berlaku apabila kereta mereka yang dipandu dari arah Kuala Lumpur menuju ke Kuantan dipercayai hilang kawalan sebelum terbabas ke kanan jalan.

"Kereta berkenaan kemudiannya terbalik selepas melanggar penghadang jalan menyebabkan Nurhaswani yang duduk di bahagian belakang tercampak keluar," katanya.

Mangsa yang mengalami kecederaan parah di kepala dikejarkan ke Hospital Bentong untuk rawatan sebelum disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan jam 7.30 malam. - Bernama

Posted in Labels: | 0 comments

Ahlan wa Sahlan Ya Ramadhan


1)Demi waktu yang belum surut...
Terasa sayu bila tibanya Ramadhan...
Kita diberi peluang mengharunginya lagi...
Semoga sama-sama kita menghargai peluag yang dianugerahiNya...
Hayati rahmat yang tersirat,menyuci segala dosa...
Salam Ramadhan al-Mubarak...

2)Ramadhan...
Tangisku berbulan-bulan hanya untuk menanti saat tibanya dirimu...
Apakah benar aku sempat untuk bersamamu...
Andai esok, lusa ataupun sebentar sahaja lagi kita akan berpisah buat selama-lamanya...
Kuharap kau dapat meredhakan pemergianku...
Walaupun rasa berat hati ini meniggalkanmu walau seketika saja...
Inikan pula buat selama-lamanya...

3)Hiasi malam mu dengan 1000 maghfirah...
Ceriakan pagimu dengan 1 makrifah...
diratib laksana hikayat 1001 malam...
Keindahan hidup insan yang bertaubat dan mencari makrifat...
Selamat menyambut ramadhan...
Semoga Ramadhan tahun ini lebih baik dari tahun lepas.

Inilah beberapa masej yang saya terima untuk bulan ramadhan.
Ramadan juga dikenali sebagai bulan untuk bersedekah,bulan untuk beribadah,bulan membaca al-Quran dan sebagainya.
Hebat sungguh Ramadhan...
Andai tidak direbut peluang ini, belum tentu tahun depan kita dapat bertemu dengan Ramadhan lagi...
Selamat berpuasa dan beribadah..

Posted in Labels: | 0 comments

Talian Hot


Pernahkah Anda bayangkan bila pada saat kita berdoa, kita mendengar ini:
Terima kasih, Anda telah menghubungi Baitullah".

Tekan 1 untuk 'meminta'
Tekan 2 untuk 'mengucap syukur'.
Tekan 3 untuk 'mengeluh'.
Tekan 4 untuk 'permintaan lainnya'."
Atau....
Bagaimana jika Malaikat memohon maaf seperti ini:
"Saat ini semua malaikat sedang membantu pelanggan lain. Tetaplah
sabar menunggu. Panggilan Anda akan dijawab berdasarkan urutannya."

Atau, pernahkah Anda bayangkan bila pada saat berdoa, Anda mendapat
respons seperti ini:
"Jika Anda ingin berbicara dengan Malaikat,
Tekan 1. Dengan Malaikat Mikail,
Tekan 2. Dengan malaikat lainnya,
Tekan 3. Jika Anda ingin mendengar sari tilawah saat Anda menunggu,
Tekan 4. "Untuk jawapan pertanyaan tentang hakikat syurga &
neraka,silahkan tu nggu sampai Anda tiba di sini!!"
Atau mungkin juga Anda mendengar ini :
Sistem kami menunjukkan bahawa Anda telah satu kali menelefon hari ini. Silakan cuba lagi esok."
atau...
Pejabat ini ditutup pada hujung minggu. Sila hubungi semula pada hari Isnin selepas pukul 9 pagi."
Alhamdulillah. .. Allah SWT mengasihi kita, Anda dapat menelefon-Nya setiap saat!!!
Anda hanya perlu untuk memanggilnya bila-bila saja dan Dia mendengar anda.. Kerana bila memanggil Allah,tidak akan pern ah mendapat talian sibuk. Allah menerima setiap panggilan dan mengetahui siapa pemanggilnya secara pribadi.
Ketika Anda memanggil-Nya, sila gunakan nombor utama ini: 24434
2 : solat Subuh
4 : solat Zuhur
4 : solat Asar
3 : solat Maghrib
4 : solat Isya
Atau untuk lebih sempurna dan lebih banyak afdhalnya, gunakan nombor ini :
28443483
2 : solat Subuh
8 : solat Dhuha
4 : solat Zuhur
4 : solat Asar
3 : solat Maghrib
4 : solat Isya
8 : Solat Tahajjud atau lainnya
3 : Solat Witir
Maklumat terperinci terdapat di Buku Telefon berjudul "Al Qur'anul Karim & Hadis Rasul"
Talian terus , tanpa Operator tanpa Perantara, tanpa bil..
Nombor 24434 dan 28443483 ini memiliki jumlah talian hunting yang tak terhingga dan dibuka 24 jam sehari 7 hari seminggu 365 hari setahun!!!

Posted in Labels: | 0 comments

Tahniah


Esok merupakan hari penerimaan ijazah oleh mahasiswa dan mahasiswi Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya. Sehubungan dengan itu, Persatuan Mahasiswa Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya (PMAPIUM) sesi 2008/2009 ingin mengucapkan tahniah dan syabas kepada graduan yang berjaya menamatkan pengajian pada sesi kali ini dalam bidang yang diceburi masing-masing. Semoga kejayaan atas usaha antum selama tiga atau empat tahun ini merupakan titik tolak kepada alam yang lebih mencabar. Akhir kata jadilah insan yang berilmu, beriman dan beramal.

Posted in Labels: | 0 comments

Tajdid Iman

http://www.koolpoetry.com/bismillah.gif

Seseorang yang memiliki hati pasif, diam dan tiada gerakan ibadat sebenarnya sudah mati sebelum dicabut nyawanya. Kekosongan hati timbul akibat lemahnya semangat manusia untuk bangkit dan melawan keinginan hawa nafsu. Kita perlukan semangat melupakan kesedihan, bangkit dan berjuang melawan musuh yang nyata iaitu syaitan. Tiada seorang manusia yang tetap tinggi kedudukan imannya. Ada kala dia terjatuh dan tersungkur, kemudian menyesali kelalaian dan kembali bertaubat. Ini digambarkan dalam al-Quran bermaksud:

“Dan orang yang apabila mengerjakan perbuatan keji atau menganiaya diri sendiri, mereka ingat Allah, lalu memohon ampun terhadap dosa mereka dan siapakah yang dapat mengampuni dosa selain daripada Allah? Dan mereka tidak meneruskan perbuatan kejinya itu, sedang mereka mengetahui.” Surah Ali Imran: Ayat 135


http://www.trevwilliams.co.uk/metips/images/cartoons/sleep.jpg



Hati menganggur, malas dan berputus asa ada ciri-ciri sebagai berikut: Berlebih-lebihan melakukan perkara mubah. Terlalu banyak berehat, santai dan mengisi kekosongan masa dengan hiburan, makanan, tidur yang panjang, bermain dan bergurau, banyak tertawa, panjang angan-angan dan semua itu berbahaya jika diteruskan dalam kegiatan seharian.

Kehidupan serba senang tanpa cabaran dan tekanan membuat manusia lupa diri dan lemah semangat bila ditimpa susah. Berhati-hati jika terus berada dalam zon selesa. Orang mukmin hendaklah sentiasa bersedia menghadapi kemungkinan paling teruk yang menghalangnya. Amirul Mukminin Muawiyah bin Abu Sufyan RA yang hidup sebagai Khalifah paling berkuasa selama berpuluh-puluh tahun pernah berkata:

“Aku memakai pakaian daripada semua jenis kain, tetapi tidak pernah menemui sehelai pakaian terbaik setanding pakaian takwa. Aku juga sudah merasai semua jenis makanan, tetapi tidak pernah menemui kelazatan seperti kelazatan sabar. Aku memiliki segala jenis kenikmatan, tetapi tiada kenikmatan mampu menandingi kenikmatan duduk mendekatkan diriku kepada Allah SWT.”


Anggota badannya menolak hidayah Allah SWT. Pernahkah anda berasakan suara hati anda menyuruh berbuat baik, melakukan ibadat dan meninggalkan maksiat? Sebenarnya dalam jasad manusia ada yang mempengaruhi hati dan perasaannya, adakah ia unsur malaikat atau unsur syaitan. Rasulullah SAW bersabda bermaksud:

“Tidak ada seorang pun daripada kamu melainkan dia diiringi temannya daripada bangsa jin (syaitan) dan temannya daripada malaikat. Sahabat bertanya: “Pada dirimu juga ya Rasulullah? Sabda baginda: Padaku juga begitu, tetapi Allah Taala menolongku terhadapnya sehingga ia tiada menyuruhku melainkan kebaikan saja.” (Hadis riwayat Muslim)


http://adultcardiac.stanford.edu/images/heart.jpg



Hati yang suka menganggur menjadikan syaitan sebagai teman karibnya. Sementara hati yang aktif dan positif gerakannya dipengaruhi hidayah Allah SWT. Sesungguhnya hanya Allah SWT mampu menggerakkan kita berbuat baik. Hidayah-Nya saja menunjuk kita ke arah jalan selamat. Namun, ramai manusia menolak hidayah Allah SWT. Mereka lahir sebagai orang Islam, tetapi tidak mahu belajar agama Islam. Mereka dipilih Allah SWT sebagai hamba-Nya yang beriman, tetapi membiarkan dirinya kecundang oleh bisikan nafsu dan syaitan. Mengapa kita menolak hidayah Allah SWT yang berada di dalam hati kita? Allah Taala berfirman bermaksud:

“Mereka mempunyai hati, tetapi tidak digunakan untuk memahami ayat Allah. Mereka mempunyai mata, tetapi tidak digunakan untuk melihat tanda kekuasaan Allah dan mereka mempunyai telinga, tetapi tidak digunakan untuk mendengar ayat Allah. Mereka itu seperti binatang ternak, bahkan lebih sesat lagi. Mereka itulah orang yang lalai." (Surah Al-A'raf ayat: 179).

Biasanya masa membuat mereka bertangguh menerima hidayah Allah SWT. Sampai bila harus menunggu? Jika tulang rapuh dan mata menjadi rabun, fikiran bercelaru, mengapa menunggu kematian menjemput, padahal setiap hari hidayah Allah SWT itu turun ke hati kita. Suka bergaul dengan ahli kelab penganggur. Persekitaran mempengaruhi keperibadian kita. Jika suka duduk bersama dan mendengar perbualan ahli perniagaan berjaya atau pakar motivasi hebat, kita semestinya terpengaruh dengan kata rangsangan dan galakan untuk lebih berjaya.

Namun, jika melepak bersama orang bermentaliti lemah dan kualiti kehidupannya juga rendah, sedikit sebanyak ada pengaruh ditinggalkan dalam karakter diri kita. Lebih baik rajin di dunia dan menganggur di akhirat selama-lamanya daripada memanjangkan angan-angan di sini, namun sengsara tiada penghujungnya di akhirat.

http://ekspress.psz.utm.my/jba/spp/bola-senyum.gif


Posted in Labels: | 0 comments

Bandar Terapung



Semalam sempat saya membelek-belek Harian Metro. Menarik sekali berita-berita di dalam akhbar ini. Tetapi saya agak tertarik berita berkenaan bandar terapung. Bandar terapung ini merupakan idea seorang arkitek bagi mengatasi masalah kenaikan paras air laut dunia dengan merancang membina bandar terapung yang mampu mengelilingi dunia.

Bandar terapung, Lilypad, bakal menjadi kediaman 50,000 penduduk dunia, termasuk London yang paling teruk dilanda krisis itu.


Kaji selidik terkini meramalkan, paras air laut akan meningkat sehingga 88 sentimeter atau kira-kira tiga kaki menjelang 2100 yang berkemungkinan besar bakal menenggelamkan kebanyakan pulau di Lautan Pasifik. Kenaikan paras air juga mengancam sebahagian besar kawasan rendah di persisiran pantai dan bandar besar seperti London, New York dan Tokyo.

Menurut Panel Perubahan Cuaca Antara Negara (IPCC), paras laut dunia dijangka meningkat antara sembilan hingga 88 sentimeter menjelang 2100 dengan anggaran purata pada 50 sentimeter.Ia berpunca daripada pemanasan global yang mencairkan ais di kutub. Di kebanyakan kawasan, kenaikan 50 sentimeter bakal menenggelamkan pantai dan juga sebahagian besar pesisiran pantai.

Kepulauan Pasifik seperti Tuvalu, Kiribati atau Maldives, kawasan paling tinggi hanya dua atau tiga meter daripada paras laut.Jika paras air meningkat 50 sentimeter, sebahagian besar kawasan tiga pulau ini akan ditenggelami air.


Malah, jika ada bahagian tidak tenggelam sekalipun, penduduk pasti berdepan masalah air bersih kerana air laut yang masin pasti mencemari sumber air tawar.

Jutaan lagi penduduk dunia yang menetap di pesisiran pantai di selatan Asia seperti Pakistan, India, Sri Lanka, Bangladesh dan Myanmar berdepan masalah sama.

Memang tidak dapat dinafikan bahawa apabila hampirnya kiamat, maka suhu bumi akan meningkat, kemudian di susuli dengan cairnya ais-ais di kutub utara. Apa yang dapat saya bayangkan, pada masa itu tiada lagi tempat untuk semua manusia bergantung melainkan pada amalan yang dikerjakan.

Mungkin kisah Nabi Nuh berulang kembali. Tetapi adakah semua yang berada di atas bandar terapung ini akan selamat? Sedangkan pada suatu masa dahulu Tokyo ada membina bangunan yang dapat terselamat dari gempa bumi. Tetapi pada akhirnya kekuasaan manusia tidak dapat melawan kekuasaan Allah, bangunan tersebut ranap menyembah bumi.


Sepertimana kisah Nabi Nuh a.s, Nuh menerima wahyu dari Allah:"Siap-siaplah engkau dengan kapalmu, bila tiba perintah-Ku dan terlihat tanda-tanda daripadaKu maka segeralah angkut bersamamu di dalam kapalmu dan kerabatmu dan bawalah dua pasang dari setiap jenis makhluk yang ada di atas bumi dan belayarlah dengan izin-Ku."
Kemudian tercurahlah dari langit dan memancur dari bumi air yang deras dan dahsyat yang dalam sekelip mata telah menjadi banjir besar melanda seluruh kota dan desa menggenangi daratan yang rendah mahupun yang tinggi sampai mencapai puncak bukit-bukit sehingga tiada tempat berlindung dari air bah yang dahsyat itu kecuali kapal Nabi Nuh yang telah terisi penuh dengan para orang mukmin dan pasangan makhluk yang diselamatkan oleh Nabi Nuh atas perintah Allah.

Dengan iringan"Bismillah majraha wa mursaha"belayarlah kapal Nabi Nuh dengan lajunya menyusuri lautan air, menentang angin yang kadang kala lemah lembut dan kadang kala ganas dan ribut. Di kanan kiri kapal terlihatlah orang-orang kafir bergelut melawan gelombang air yang menggunung berusaha menyelamat diri dari cengkaman maut yang sudah sedia menerkam mereka di dalam lipatan gelombang-gelombang itu.
Tatkala Nabi Nuh berada di atas geladak kapal memperhatikan cuaca dan melihat-lihat orang-orang kafir dari kaumnya sedang bergelimpangan di atas permukaan air, tiba-tiba terlihatlah olehnya tubuh putera sulungnya yang bernama "Kan'aan" timbul tenggelam dipermainkan oleh gelombang yang tidak menaruh belas kasihan kepada orang-orang yang sedang menerima hukuman Allah itu. Pada saat itu, tanpa disadari, timbullah rasa cinta dan kasih sayang seorang ayah terhadap putera kandungnya yang berada dalam keadaan cemas menghadapi maut ditelan gelombang.


Nabi Nuh secara spontan, terdorong oleh suara hati kecilnya berteriak dengan sekuat suaranya memanggil puteranya:Wahai anakku! Datanglah kemari dan gabungkan dirimu bersama keluargamu. Bertaubatlah engkau dan berimanlah kepada Allah agar engkau selamat dan terhindar dari bahaya maut yang engkau menjalani hukuman Allah." Kan'aan, putera Nabi Nuh, yang tersesat dan telah terkena racun rayuan syaitan dan hasutan kaumnya yang sombong dan keras kepala itu menolak dengan keras ajakan dan panggilan ayahnya yang menyayanginya dengan kata-kata yang menentang:"Biarkanlah aku dan pergilah, jauhilah aku, aku tidak sudi berlindung di atas geladak kapalmu aku akan dapat menyelamatkan diriku sendiri dengan berlindung di atas bukit yang tidak akan dijangkau oleh air bah ini."

Nuh menjawab:"Percayalah bahawa tempat satu-satunya yang dapat menyelamatkan engkau ialah bergabung dengan kami di atas kapal ini. Masa tidak akan ada yang dapat melepaskan diri dari hukuman Allah yang telah ditimpakan ini kecuali orang-orang yang memperolehi rahmat dan keampunan-Nya."
Setelah Nabi Nuh mengucapkan kata-katanya tenggelamlah Kan'aan disambar gelombang yang ganas dan lenyaplah ia dari pandangan mata ayahnya, tergelincirlah ke bawah lautan air mengikut kawan-kawannya dan pembesar-pembesar kaumnya yang durhaka itu.

Daripada kisah Nabi Nuh a.s ini,maka kita dapat ambil beberapa pengajaran, antaranya manusia tidak dapat memberi hidayah kecuali Allah sahaja yang mampu memberikan hidayah pada manusia. ”Innaka la tahdi man ahbab ta walakinnaAllah ayahdi manyasyak”. Kemudian kita bayangkan bahawa bukit yang tinggi(Lillypad) dapat menyelamatkan, tetapi keimanan pada Allah sahajalah yang mampu mengatasi segalanya.

Posted in Labels: | 1 comments

Kematian yang makin hampir.

Malam tadi sempat aku luangkan sedikit masa untuk pergi melawat sahabat-sahabat yang tinggal di blok 9(RK (Rumah Kamal).Cadangnya lepas pukul 12 nak balik rumah sewa, tapi bila duduk ja depan laptop danial (Pok Nya), terus ja hanyut....Terpaksa la bermalam di situ.Pikir-pikir balik, boleh ambik Pak Can (Panggilan manja untuk SU PMI (Faisal) terus. Pak Can dari kampung, cuti ni dia balik kampung 3 hari ja. Kesian kan...
Masa dok depan laptop Pok Nya, aku tertarik dengan satu video. Video ni mengisahkan tentang kematian seorang ustaz yang sedang berceramah. Kalau diperhatikan pada dahi dan mata ustaz ni, kita dapat lihat memang ada tanda-tanda kematian pada raut wajahnya.
Adakah kita semua bersedia untuk ke sana????

TANDA-TANDA KEMATIAN UNTUK ORANG ISLAM

Tanda 40 hari sebelum hari mati

Tanda ini juga akan berlaku sesudah waktu Asar. Bahagian pusat kita akan berdenyut-denyut. Pada ketika ini daun yang tertulis nama kita akan gugur dari pokok yang letaknya di atas Arash Allah SWT. Maka malaikat maut akan mengambil daun tersebut dan mula membuat persediaannya ke atas kita,antaranya ialah ia akan mula mengikuti kita sepanjang masa. Akan terjadi malaikat maut ini akan memperlihatkan wajahnya sekilas lalu dan jika ini terjadi, mereka yang terpilih ini akan merasakan seakan-akan bingung seketika. Adapun malaikat maut ini wujudnya cuma seorang tetapi kuasanya untuk mencabut nyawa adalah bersamaan dengan jumlah nyawa yang akan dicabutnya.

Tanda 7 hari

Adapun tanda ini akan diberikan hanya kepada mereka yang diuji dengan musibah kesakitan di mana orang sakit yang tidak makan secara tiba-tiba ianya berselera untuk makan.

Tanda 3 hari

Pada ketika ini akan terasa denyutan di bahagian tengah dahi kita iaitu diantara dahi kanan dan kiri. Jika tanda ini dapat dikesan maka berpuasalah kita selepas itu supaya perut kita tidak mengandungi banyak najis dan ini akan memudahkan urusan orang yang akan memandikan kita nanti. Ketika ini juga mata hitam kita tidak akan bersinar lagi dan bagi orang yang sakit hidungnya akan perlahan-lahan jatuh dan ini dapat dikesan jika kita melihatnya dari bahagian sisi. Telinganya akan layu dimana bahagian hujungnya akan beransur-ansur masuk ke dalam. Telapak kakinya yang terlunjur akan perlahan-lahan jatuh ke depan dan sukar ditegakkan.

Tanda 1 hari

Akan berlaku sesudah waktu Asar di mana kita akan merasakan satu denyutan di sebelah belakang iaitu di kawasan ubun-ubun di mana ini menandakan kita tidak akan sempat untuk menemui waktu Asar keesokan harinya.

Tanda akhir

Akan berlaku keadaan di mana kita akan merasakan satu keadaan sejuk di bahagian pusat dan ianya akan turun ke pinggang dan seterusnya akan naik ke bahagian halkum. Ketika ini hendaklah kita terus mengucap kalimah syahadah dan berdiam diri dan menantikan kedatangan malaikatmaut untuk menjemput kita kembali kepada Allah SWT yang telah menghidupkan kita dan sekarang akan mematikan pula.

Posted in Labels: | 2 comments

‘OKS bukan lebai’




Oleh Isma Ismail
isma@hmetro.com.my

KOTA BHARU: “Orang Kena Saman (OKS) beritahu saya, dia pelajar pondok dan pada pemahaman saya dia masih lagi seorang pelajar,” kata seorang anggota polis dalam perbicaraan terhadap seorang pelajar pondok berserban yang didakwa melakukan kesalahan tidak memakai topi keledar ketika menunggang motosikal di Mahkamah Majistret di sini, semalam.

Saksi pendakwa yang bertugas sebagai anggota Unit Peronda, Konstabel Che Sidek Omar Mat Hassan, berkata pelajar terbabit ketika ditahan memberitahu statusnya sebagai pelajar pondok, maka tindakan saman boleh diambil kerana pelajar terbabit belum layak dianggap lebai kerana masih belajar.

Menurutnya, dia memahami Kaedah-Kaedah Motosikal (Topi Keledar) 1973 yang dibaca bersama Pengecualian 1975 menyatakan pengecualian saman hanya untuk seseorang bergelar haji, hajah, Sikh dan lebai.

Prosiding itu berlangsung di hadapan Majistret Tengku Amalin A’ishah Putri Sultan Ismail Petra selepas pelajar Madrasah al-Diniah al-Bakriah, Pusat Pengajian Islam Pondok, dekat Pasir Tumboh, Ahmad Nasir Darus, 27, mengaku tidak bersalah terhadap kesalahan tidak memakai topi keledar di Jalan Pasir Tumboh di sini, jam 6.30 petang pada 20 September 2007.

Pemuda itu didakwa mengikut Kaedah 4 Motosikal (Topi Keledar) 1973 yang boleh dihukum mengikut Seksyen 119(2) Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333/87) dan dibaca bersama Seksyen 128(1) akta sama.

Jika disabitkan kesalahan boleh menyebabkan didenda sehingga RM2,000 atau penjara sehingga enam bulan atau kedua-duanya sekali.

Pendakwaan dilakukan Pegawai Pendakwa Polis, Cif Inspektor Mohd Yusri Mamat, manakala Ahmad Nasir selaku OKS diwakili peguam, Ahmad Rizal Affande Zainol.

Menurut Che Sidek, pelajar terbabit tidak memakai topi keledar, sebaliknya berserban dengan ikatan kemas dan pada masa sama tidak menunjukkan sebarang dokumen menyatakan dia dikecualikan memakai topi keledar.

Terdahulu, saksi itu turut disoal Ahmad Rizal mengenai pemahamannya terhadap peruntukan Kaedah Motosikal yang menyebut pengecualian saman.

Ahmad Rizal merujuk maksud lebai dipetik dari Kamus Dewan dan Kamus Pelajar, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) yang bermaksud orang yang tahu tentang agama, orang yang melakukan kerja bersangkutan agama dan gelaran kepada orang yang tahu hal ehwal atau taat kepada agama.

Che Sidek yang sudah enam tahun bertugas sebagai anggota polis, memberitahu dia mendapati Ahmad Nasir itu mempunyai ciri seorang lebai, tetapi tidak bersetuju cadangan Ahmad Rizal saman terhadap pelajar berkenaan menyalahi Pemberitahuan Pengecualian 1975 bagi Kaedah-Kaedah Motosikal (Topi Keledar Keselamatan) 1973.

Ketika prosiding, Ahmad Rizal turut meminta saksi pendakwa menunjukkan bukti dirinya beragama Islam kepada mahkamah, sebelum Che Sidek bersetuju mengucap dua kalimah syahadah serta menyatakan maksudnya di hadapan majistret bagi membuktikan kepada mahkamah dia beragama Islam.

Kemudiannya, Tengku Amalin menetapkan 21 Julai nanti sebagai tarikh hujahan bertulis kedua-dua pihak, diikuti hujahan balas peguam bela dan hujahan pihak pendakwa masing-masing pada 4 dan 18 Ogos ini, sebelum keputusan kes ditetapkan pada 15 September depan.

Selesai prosiding berkenaan, Ahmad Nasir disambut dan diiringi kira-kira 100 pelajar pondok tempat dia belajar yang juga hadir dengan berserban dan berjubah.

Sebaik Ahmad Nasir keluar dari dewan mahkamah kira-kira jam 12.30 tengah hari, mereka berkumpul dan mengamimkan doa dibacakan seorang daripada rakannya.

Posted in Labels: | 0 comments

Aku terima Nikahnya...

Hm, dah lama nak mendapatkan buku ini, semenjak terlihat promosi buku ini di lamanweb saifulislam.com, ada juga cadangan nak mencarinya di kedai buku.. cuma baru semlm sempat singgah di Pustaka Mukmin di Jalan TAR, otw nk balik ke UM setelah meeting di UIA selesai.. Alhamdulillah,hari ni, habis juga membacanya..

Menarik apabila kita terbaca tajuk buku ini, membuatkan rasa ingin tahu terhadap apa isinya.. Berbaloi membeli buku ini dan meluangkan sedikit masa membacanya bagi menambahkan lg erti dan kefahaman bagi meneruskan kehidupan yang mendatang. Bknlah tujuan untk mengulas sinopsis buku ini, cuma sekadar sedikit perkongsian kefahaman yg dapat dijadikan iktibar kepada kita semua samada yang belum bernikah mahupun yang sudah bernikah.. Semuanya akan melalui pelbagai ujian yang pasti mendatang..

Bagi yang belum berpunya ataupn masih mencari pasangan, jika perancangan untuk menuju ke gerbang perkahwinan masih samar dan bukanlah dalam masa 1-2tahun akan dtg, rasanya utamakan perkara yang lebih utama dlu.. Bknlah itu suatu sifir yang wajib diikuti, tapi ianya merupakan pandangan penulis dlm membicarakan persoalan yang sentiasa bermain di kalangan anak muda sekarang. Dan bagi yang sudah berpunya/bertunang, jagalah hubungan itu sebagai satu amanah.. Pertunangan merupakan satu perkara yang berat untuk dijaga ditambah pula dengan pelbagai ujian yang akan menduga.. Perkahwinan perlulah dilihat melalui satu skop yang lebih luas. Ianya bukan sekadar menghalalkan apa yang diharamkan sebelum pernikahan, tetapi ianya juga merangkumi skop kehidupan yang penuh dengan tanggungjawab, amanah serta kasih sayang. Setelah diamati, saya merasakan Ust Hasrizal bijak dlm memberikan makna perkahwinan itu dan juga view awal tntg kehidupan selepas pernikahan. Mungkin perjalanannya berbeza, tetapi ujian serta cabaran tetap ada..

Pengalaman yang dikongsikan Ust Hasrizal di dalam buku ini banyak menumpukan kepada kesedaran tanggungjawab setelah pernikahan.. Saya agak tertarik dengan keadaan masyarakat Irish yang begitu penyayang terhadap kanak-kanak.. Tetapi segala yang diceritakan itu, bukanlah di tanah air kita, tapi di Ireland.. Sedih apabila mengenangkan tanah air kita yang dicintai ini, semakin hari semakin banyak perkara yang membimbangkan kita.. Anak-anak kini tidak lagi selamat berada di luar rumah.. Begitulah keadaan sekarang.. Bilakah berakhirnya zaman jahiliyah moden ini.. 'Baldatun toyyibatun wa rabbun ghafur..' merupakan impian kita semua.. Negara yang aman serta mendapat rahmah dari Allah S.W.T dari langit dan juga bumi.. Bersama kita perjuangkannya...

So, inilah sedikit perkongsian.. Saya tidaklah pandai mengulas dengan lebih detail, cuma ianya sekadar perkongsian dari view yang saya rasa penting untk dikongsikan bersama, insya-Allah.. Hm, pasni nk kena habiskan buku 'Formula Solat Sempurna' yang dihasilkan oleh Ustaz Zaharuddin Abd Rahman, Mantan Presiden PMIUM... Semoga hidupku, matiku hanyalah untukMu ya Rabb..

Posted in Labels: | 1 comments

Euro 2008: Sepanyol jaguh Eropah




JUARA BARU: Pasukan Sepanyol meraikan kejayaan muncul juara Euro 2008 selepas menewaskan Jerman 1-0 pada perlawanan akhir di Vienna, awal pagi semalam. Kejayaan itu menamatkan penantian mereka selama 44 tahun.

The Red Fury akhiri penantian julang trofi Euro selama 44 tahun

VIENNA: Pasukan terbaik memenangi Kejohanan Eropah. Sepanyol menyumbat gol terbanyak dan menguasai bola lebih lama daripada pencabar lain untuk menjulang trofi prestij itu julung kali dalam tempoh 44 tahun.

"Kemenangan ini bukan sahaja baik untuk Sepanyol tetapi juga bola sepak kerana pasukan yang beraksi terbaik memenangi gelaran," kata Fernando Torres yang menjaringkan gol tunggal pada babak pertama membantu Sepanyol menewaskan Jerman 1-0 dalam perlawanan akhir, awal pagi semalam.


Pasukan 'The Red Fury' itu memenangi mahkota kejuaraan Eropah buat kali kedua dengan menyajikan persembahan penuh menghiburkan berorientasikan serangan serta kesungguhan yang agak kekurangan pada pasukan berkenaan pada kejohanan utama sebelum ini.


"Akhirnya keadilan sudah dilaksanakan dan pasukan yang bermain bola sepak terbaik memenangi kejohanan kali ini," kata penyerang Liverpool itu yang menjadi elemen memisahkan antara pemenang dan pasukan yang kalah dengan jaringan hebat.

Sepanyol mungkin tidak memenangi banyak trofi seperti Jerman atau Itali tetapi persembahan penuh warna dalam Euro 2008 kali ini membutirkan pasukan berkenaan satu lagi gelaran utama selepas menjuarai pada 1964 di halaman sendiri.

JARINGAN kemenangan Sepanyol di minit ke 33.

"Ia hari gembira untuk Sepanyol memenangi gelaran Eropah dan melakukannya dengan cara paling hebat," kata jurulatih, Luis Aragones. "Kini kami boleh berkata bahawa kami boleh memenangi Kejohanan Eropah dan gelaran yang lain."

Pasukan Sepanyol bermula agak goyah dalam kempen kelayakan Euro 2008 dengan kekalahan kepada Ireland Utara dan Sweden tetapi dapat bangkit untuk merakamkan lapan kemenangan dan seri sekali untuk menjuarai peringkat kumpulan.

Kini, Sepanyol melebarkan rentetan kemenangan kepada 22 perlawanan dan membantu Aragones berundur dengan nada yang bangga selepas menamatkan tempoh empat tahun selaku jurulatih.

Pemainnya melambung-lambung jurulatih berusia 69 tahun ke udara selepas tamat permainan ketika penyokong Sepanyol menari dan bersorak riang di galeri tempat duduk di Stadium Ernst Happel di Vienna.

"Saya gembira pada saat ini," kata Aragones. "Saya biasanya tidak dapat menunjukkan bagaimana perasaan saya - saya amat gembira.

"Jerman adalah pasukan yang liat untuk ditentang dan mereka bertahan dengan baik. Kami memiliki barisan pemain yang bergerak sebagai satu unit padu dan menyerang baik. Kami bekerja keras dan berjaya sampai ke tahap ini."

Posted in Labels: | 0 comments

Gambar pelik


Kadang-kadang kehidupan ini penuh dengan kesenangan. Tetapi bukan senang untuk mencapai kesenangan. Saya teringat kata-kata jurulatih palapes Sarjan Zambri, beliau pernah berkata bukan senang nak senang, dan bukan susah nak susah. Maksudnya sekiranya kita inginkan kehidupan yang bahagia,atau senang di kemudian hari, maka perlulah kita hadapi kehidupan yang sukar pada awalnya.
Dan bagi umat Islam maka kita perlu yakin bahawa tiada kesenangan tanpa usaha dan doa. Sekiranya kita hanya sekadar berdoa, maka kejayaan yang dicapai hanyalah kejayaan di dunia. berkemungkinan kejayaan itu tidak diredhai Allah.
Semalam, Alhamdulillah sempat saya luangkan masa untuk pergi mendengar ceramah Masjid Ar-rahman. Walaupun pada hari-hari yang lainnya saya bersolat di Masjid Ar-Rahmah Sek 16 (Masjid China). Penceramah jemputan malam tadi Ustaz Nasruddin Tantawi. Begitu lantang ceramah yang disampaikan oleh beliau.
Beliau membacakan sepotong ayat al-Quran yang bermaksud : "Berapa ramai dari golongan yang sedikit dapat mengalahkan golongan yang ramai...". Justeru dapat disimpulkan bahawa walaupun kita dari golongan yang sedikit, sekiranya perjuangan itu adalah untuk mendapatkan keredhaan Allah maka InsyaAllah Allah akan permudahkan jalan untuk mencapai kemenangan walaupun pada logik adalah sebaliknya.
Sebagai contoh pada peperangan Badar tentera Islam hanya 313 menentang 1000 golongan kafir, namun kemenangan berpihak pada tenter Islam. Begitu juga dengan peperangan-peperangan yang seterusnya. Justeru kita umat Islam perlu yakin akan janji Allah.Takbir!!!

Posted in Labels: | 0 comments

Selamat Datang



Assalamualaikum dan selamat sejahtera saya ucapkan kepada semua pelajar tahun 1 sesi kemasukan 2008/2009. Tahniah saya ucapkan di atas kejayaan antum. Kehadiran antum ke APIUM adalah menjadi kebanggaan kami dan amat dialu-alukan.

.

Posted in Labels: | 0 comments

Ucapan MHS


Ucapan yang di tulis di dlam buku panduan mhs, untuk sambut pelajar APIUM yang akan masuk pada 29hb ni...

UCAPAN ALU-ALUAN DARI YANG DI PERTUA PERSATUAN MAHASISWA AKADEMI PENGAJIAN ISLAM UNIVERSITI MALAYA SESI 2008/2009

بسم الله الرحمن الرحيم

السلام عليكم ورحمة الله وبركاته

Bismillahirrahmanirrahim, selawat dan salam ke atas junjungan mulia nabi Muhammad S.A.W, para sahabat seterusnya penyambung risalah Allah sepanjang zaman. Bersyukur ke hadrat Allah dengan rahmat dan ’inayahNya dikurniakan kepada kita nikmat iman dan Islam yang tidak ternilai harganya

Rakaman jutaan terima kasih kepada pihak pentadbiran Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya ( APIUM )kerana memberi ruang kepada saya merakamkan sepatah dua kata selaku Yang Di Pertua Persatuan Mahasiswa Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya (PMAPIUM ).Sekalung tahniah dan syabas diucapkan kepada mahasiswa/i sekalian lantaran berjaya menjejakkan kaki ke Uni Perdana ini. Sudah barang pasti kehadiran kalian membawa sinar harapan, bak kata pepatah “Kecil tapak tangan nyiru kami tadahkan”.kepada kami PMAPIUM khasnya dan APIUM amnya.

Menempuh alam kampus menuntut kita supaya beramanah dengan ilmu yang dituntut. Lantaran Rasulullah SAW bersabda : 'Berilah nasihat pada ilmu, Sesungguhnya khianat seseorang daripada kamu terhadap ilmu adalah lebih dahsyat daripada khianatnya terhadap hartanya, Dan sesungguhnya Allah akan bertanya kepada kamu pada hari kiamat.' - Riwayat Attabarani. Kerana perlulah diingatkan bahawa “semakin tinggi ilmu, semakin besar tanggungjawab”.

Cabaran dunia kampus pasti bermanfaat jika kalian bijak memilih halatujunya. Justeru kami berbesar hati mengajak kalian untuk seiring bersama kami di PMAPIUM. Buat lepasan STPM, STAM ,Diploma dan Nilam Puri sekalian, ayuh kita bersatu bersama membina kegemilangan Akademi Pengajian Islam sebagai sumber rujukan utama dalam aspek keagamaan juga menjadi jurubicara ummah.

Kami juga mengharapkan sokongan kalian untuk saling berkerjasama dengan PMAPIUM dalam menjayakan sebarang aktiviti dan program di APIUM.


Akhir kalam selamat menempuh alam kampus dan menjalani kehidupan sebagai mahasisiwa islam yang menjunjung kedaulatan Islam bersama.
Selamat berjuang, kuatkan tekad,teruskan usaha, kejayaan pasti dalam gengaman.

wassalamulaikum warahmatullah

“ SEIRING bersama PMAPIUM”




IZZAT AMIN MOHD NASIR

Yang Di Pertua Persatuan Mahasiswa Akademi

Pengajian Islam Universiti Malaya

Posted in Labels: | 0 comments

Rebutlah Peluang Keemasan



Kepada semua pelajar IPT yang masih menuntut, boleh lah melayari http://www.maiwp.gov.my bagi bertujuan memohon bantuan kewangan dari Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan. Tarikh tutup 7 Julai ni.

Posted in Labels: | 0 comments

Induksi PMAPIUM08/09

Barisan Pimpinan PMAPIUM 08/09


Alhamdulillah sempat jugak PMA kali ni mengadakan induksi pada 7 hingga 9 Mei baru-baru ni.yang bertempat di DeCongkak Forest, Sg. Congkak, Selangor dengan bertemakan “ Ukhuwwah Tautan Kami ” .

Walaupun pada tarikh ni semuanya memikirkan untuk pulang ke kampung, tetapi bagi pimpinan PMA pada kali ini,kami meluangkan sedikit masa cuti memikirkan perancangan untuk memegang era kepimpinan akan datang. Program ni penting bagi memastikan kelancaran kepimpinan dan setiap exco tahu apa yang ingin dibawa pada sesi kepimpinan akan datang.

Selain itu program ini turut diadakan untuk merapatkan ukhuwah antara pimpinan PMA. Alhamdulillah semua yang dirancangkan berjalan lancar dan tercapai juga matlamat mengadakan program ni.





Posted in Labels: | 0 comments